Assalamualaikum... Selamat Datang Ke Blog Natasha_Along

Tuesday, February 8, 2011

HIMPUNAN HADIS RASULULLAH

1) Tajuk :
Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Anak-anak
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Huraian
i) Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:” Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Abu Daud & Hakim)


2) Tajuk :
Menjaga perasaan
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.
2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.
3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.
4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.


Tajuk :
Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”
 Riwayat al-bukhari
Huraian
i) Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.
ii) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”
iii) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.
iv) Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
v) Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

Tajuk :
Jangan Kamu Marah!
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:” Berwasiatlah kepada ku.” Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:” Jangan kamu marah..”
 (al-Bukhari)
Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

Tajuk :
Waktu Asar, Isyak Dan Subuh
Hadith :
"Daripada Abu Barzah al-Islami r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w telah bersembahyang Asar. Kemudian salah seorang daripada kami telah kembali ke tempat kediamannya dipinggir bandar ketika matahari masih cerah. Baginda Rasulullah suka mentakhirkan sembahyang isyak, dan baginda tidak suka tidur sebelumnya serta bercakap-cakap selepasnya, Baginda selesai menunaikan sembahyang subuh ketika seorang itu boleh mengenali orang yang duduk disebelahnya dan Baginda membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran".
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
1. Seseorang hendaklah menyegerakan sembahyang Asar diawal waktunya
2. Sunat mentakhirkan sembahyang Isyak kepada 1/3 dari malam sekiranya tidak memberatkan sembahyang secara berseorangan atau berjamaah.
3. Makruh bagi seseorang tidur sebelum sembahyang isyak kerana takut terlupa atau terlewat daripada waktu.
4. Seseorang hendaklah segera menunaikan sembahyang subuh dan keluar dari masjid setelah terang.
5. Setelah selesai sembahyang subuh Rasulullah s.a.w membaca 60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran.

Tajuk :
Kutu-kutu Jalanan
Hadith :
Dari Abu Sai’d. Al-Khudri r.a, dari Nabi SAW sabdanya:”Hindarilah daripada duduk-duduk di pinggir jalan!” Jawab para sahabat,” Kami terpaksa duduk-duduk di situ membincangkan hal-hal yang perlu.” Sabda Rasulullah SAW, “Jika memang perlu kalian duduk-duduk di situ berikan hak jalanan.” Mereka bertanya:”Apa haknya, ya Rasulullah Jawab baginda :”Tundukkan pandangan, jangan mengganggu, jawab salam (orang yang lalu) menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar.”
(Muslim)
Huraian
1. Mengikut Kamus Dewan, melepak memberi makna tentang suatu tabiat yang negatif di kalangan masyarakat seperti di kalangan remaja dan dewasa yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Pada peringkat awalnya kegiatan ini merupakan budaya yang dilakukan oleh kutu-kutu jalanan.
2. Melepak yang bertujuan untuk kebaikan seperti untuk berbual tentang perkara yang bermanfaat adalah dibenarkan dalam Islam tetapi mestilah tidak sampai menghalang orang yang lalu-lalang dan membuat sesuatu yang menyakitkan masyarakat sekeliling seperti membuat bising, mengata-ngata orang, mengusik dan sebagainya kerana sedemikian sudah terkeluar daripada adab-adab dalam bersosial.
3. Setiap muslim seharusnya menjauhi perbuatan yang melalaikan kerana Islam amat membenci perkara yang menggambarkan sikap orang yang suka membuang masa.

Tajuk :
Tanggungjawab Sosial
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya."
Abu Daud dan at-Tirmidzi
Huraian
1. Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan.
2. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.
3. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.